Kenapa Denny JA Mesti Dicalonkan Untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan?

Kenapa Denny JA Mesti Dicalonkan Untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan?

Peluang Denny JA dibandingkan Pramoedya Ananta Toer

Oleh Datuk Jasni Matlani
(Presiden Bahasa/Penerima SEA WRITE Malaysia 2015)


PADA bulan September 2021, saya menulis sebuah artikel yang berjudul, DENNY JA CALON HADIAH NOBEL KESUSASTERAAN DARI NEGARA ASEAN?

Tulisan itu disiarkan dalam majalah sastera, e-kreatif yang diterbitkan di Malaysia, keluaran September 2021.

Saya menulis artikel itu kerana sudah lama menekuni cara hadiah itu diberikan setiap tahun dan siapa yang berjaya menerimanya.

Pada waktu yang sama, saya juga melihat potensi Denny JA sebagai penerima hadiah Nobel dan calon dari Indonesia serta wilayah ASEAN yang boleh mencabar dan sangat seksi untuk hadiah berkenaan.

Dalam artikel itu saya menulis, selepas Denny JA menerima anugerah sastera Kemanusiaan dan diplomasi ASEAN di Malaysia, Denny JA patut dicalonkan untuk Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan.

Kenapa demikian? Kerana sumbangan dan perjuangannya yang berterusan, lagi dominan, walaupun penuh kontroversi dalam mengangkat genre puisi esei di negaranya, Indonesia dan malah di seluruh ranah ASEAN.

Beliau juga menghasilkan karya yang dibumbui idealisme kemanusiaan yang bukan calang-calang seperti yang diburu oleh akademi Sweden sejak tahun 1901.

Saya mengatakan, setiap zaman mesti ada manusia luar biasa dalam bidangnya yang melawan arus karena setiap zaman mesti melahirkan seorang tokoh yang muncul dengan aliran pemikiran baharu sesuai dengan konsep moden dan zaman yang sentiasa berubah.

Dalam bidang sastera di peringkat ASEAN, Denny JA memenuhi kreteria itu sesuai dengan aura, karisme dan keterampilannya.

-000-

Baca juga:

Memang era pendemik Covid19, membataskan hidup kita dalam banyak perkara, tetapi tidak dunia sastera.

Benda lain boleh statik, tetapi tidak dunia sastera . Malah, dunia sudah jauh berubah. Cara kita memacu dunia sastera juga ikut berubah secara total. Sesiapa yang berfikir di dalam kotak dan bekerja dengan cara lama, dalam mengemudikan bahtera sastera, mereka tidak akan sampai ke mana, lebih mungkin hanya terapung di tengah lautan dan tidak akan sampai ke pulau harapan. Mereka hanya terapung di tengah samudera yang tidak bertepi.

Namun bagi saya, Denny JA, bukan sahaja merintis puisi esai, sebaliknya turut meneroka dan memberitahu dunia, bahawa beliau mengambil tanggungjawab untuk mendekatkan puisi kepada masyarakat umum ketika dunia semakin melupakan dan membunuh puisi.

Kata Denny JA, mesti ada inovasi, pembaharuan, penyegaran yang dilakukan terhadap puisi, dan itu merupakan satu kemestian.

Puisi esai, bukan sahaja menjawab fenomena dan persoalan manusia dan kehidupan yang relevan di rantau ini, tetapi juga turut menyorot kepentingan akademik dalam dunia sastera dan menawarkan suatu bentuk pengucapan sastera yang lebih berjejak kepada dunia realiti.

Puisi esai menghidupkan watak manusia yang sedar akan nilai-nilai yang dipegang secara bersama dan kehidupan tanpa diskriminasi, berdasarkan nara sumber, data dan fakta sejarah yang berintegriti, sekaligus membantu memperkaya dan memantapkan sastera di peringkat global.

Puisi esai menawarkan satu perspektif baharu kepada dunia sastera dalam merungkai cara berfikir dan minda tertawan orang sastera.

Sebab itu saya penuh yakin, Denny JA memang layak dan berhak untuk dicalonkan dan malah menerima hadiah Nobel untuk kesusasteraan.

-000-

Ketika saya menyebutkannya buat pertama kali dan menulisnya dalam majalah e-kreatif keluaran bulan september itu, saya tahu kata-kata saya akan menimbulkan kontroversi.

Tetapi saya juga tahu, beliau berjuang tanpa henti. Menulis sejumlah puisi esai yang cenderung memperjuangkan kemanusiaan tanpa diskriminasi dalam sekian banyak buku, ketika sebahagian besar orang lain tidur, dan lebih mudah berkokok.

Denny JA menawarkan cara baharu dalam konteks mengurus sastera, dan cara baharu berkomunikasi melalui sastera. Yaitu dengan bentuk pengucapan yang berjejak kepada dunia realiti dan merungkai kegelapan sastera, hutan eksklusif sastera, puter belit dan ambiguiti sastera, pengaburan pemikiran dan nuansa perasaan dengan menawarkan kebijaksanaan baharu dalam berbahasa.

Seterusnya, ia mengangkat mesej kemanusiaan merentas sempadan agama, geopolitik, geografi dan etnografi.

Sama ada dikehendaki atau tidak, perubahan terus berlaku dan puisi esai juga berhak mendapat tempatnya di pentas dunia.

Kata saya, jika perubahan berkenaan ditangani dengan baik, matang, penuh pertanggungjawaban, berintegriti, maka gagasan besar puisi esai sudah pasti akan sampai di mercu yang mengubah pandangan dunia terhadapnya.

Sebarang perubahan boleh disanggah, tetapi sanggahan itu mesti dilakukan secara berautoriti, dan dengan penuh semangat intelektual serta hujah akademik yang munasabah.

Puisi Esai muncul untuk melawan semua kelaziman, dan hegemoni sastera dengan penulisan bentuk puisi esai yang pada satu sisi mempertahankan kuasa kreatif dan unsur puitika.

Tapi pada sisi lain, puisi esai turut mengungguli unsur dramatik, kemanusiaan dan isu sosial, serta ditandai sikap, pemikiran dan argumentasi yang menawarkan jalan penyelesaian yang penuh pertimbangan dalam kehidupan.

Bagi saya, Denny JA bukan sasterawan biasa. Saya sudah lama melihat potensi anugerah nobel di dalam diri beliau. Potensi ini tidak dimiliki semua orang dan ia mungkin hanya satu daripada ratusan juta populasi penduduk Indonesia dan malah di peringkat ASEAN.

Denny JA bukan hanya merintis puisi esai, tetapi membawa gagasan persuratan yang lebih besar, mendefinisikan bentuk dan memperkukuhkan fungsi puisi esai sebagai karya kreatif.

Beliau memberi hala tuju dan makna baharu kepada segenap susastera Nusantara.

Kata Prof Dr Ramzah Dambul, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, sama ada sedar atau tidak, gagasan puisi esai Denny JA itu telah mencapai status sastera advokasi dan diplomasi yang penting di peringkat ASEAN.

Ini merupakan markat tertinggi dalam ukuran impak sastera yang bukan sekadar memberi gratifikasi mental dan hanya mencetuskan katarsis spiritual sebagaimana sastera konvensional yang tipikal.

Malah kisah dan sejarah masyarakat serantau yang jarang didendangkan selama ini kembali didengar dan didekati melalui medium sastera.

Lebih unggul lagi, Denny JA telah menjadikan puisi esai sebagai satu alat sastera yang amat berkesan, dan malah gerakan puisi esai kini telah merentas sempadan, mengikat diplomasi sesama negara, menerusi persahabatan dan rangkaian falsafah kemanusiaan yang memperkukuhkan persuratan serantau dan global.

Dengan demikian, berdasarkan hujah dan fakta yang dinyatakan, Denny JA bukan sahaja boleh dicalonkan, tetapi layak menang hadiah Nobel itu bagi kategori sastera dari Indonesia dan negara ASEAN.

-000-

Kata saya lagi dalam tulisan artikel itu, usaha mengangkat karya dan ketokohan Denny JA sebagai pemenang hadiah Nobel mesti dilakukan kerana inovasi sastera dan iltizam beliau yang berterusan untuk mengangkat sastera Indonesia dan sastera ASEAN yang besar di peringkat global sangat luas biasa.

Denny JA mungkin antitesis dan melawan konvensi sastera, tetapi sebahagian besar penerima Hadiah Nobel itu terjebak dalam ketidak sukaan dan kontroversi di negara masing-masing, malah di peringkat dunia.

Bukan sesuatu yang asing jika hadiah Nobel diwarnai oleh pelbagai kontrovesi. Bukan sahaja hadiah Nobel untuk kesusasteraan, tetapi juga hadiah Nobel dalam bidang kimia, fizik, keamanan, ekonomi dan perubatan.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrach Obama telah dikritik. Pemilihannya sebagai penerima Hadiah Nobel Perdamaian pada tahun 2009 dianggap sebagai kurang tepat.

Beliau ketika itu baharu sahaja 9 bulan menjadi Presiden Amerika Syarikat. Beliau dikatakan tidak membawa banyak perubahan yang melayakkannya menerima anugerah itu. Malah sebahagian besar penyokong Obama di Amerika sendiri mengatakan beliau belum layak menerima anugerah yang dipandang tinggi itu.

Fritz Gaber menang hadiah Nobel dalam bidang kimia pada tahun 2019, kerana kejayaannya menghasilkan Proses Gaber-Bosch yang menghasilkan ammonia yang menjadi baja bagi memajukan industri pertanian.

Tetapi beliau juga orang yang sama menghasilkan gas klorin yang digunakan sebagai senjata kimia dalam perang dunia pertama.

Begitu juga hadiah Nobel dalam bidang sastera. Pada tahun 2019 pemilihan Peter Handke dikritik hebat kerana beliau merupakan penulis yang menyokong pembunuhan Serbia, Slobodan Milosevic, arkitek perang Balkan, dan sama sekali menafikan keganasan Serbia. Tetapi 18 tokoh penilai hadiah Nobel mempertahankan pemilihan itu berdasarkan merit sastera.

Tahun 2016 penyair, penulis lirik lagu dan lagenda Rock Amerika Syarikat, Bob Dylan menang hadiah Nobel sastera tetapi mencetuskan kontroversi dan kemenangannya sukar diterima. Mengapa? Kerana beliau dikatakan terasing dari pulau sastera. Malah, seorang penulis Perancis menganggapnya sebagai satu penghinaan kepada penulis.

Jangan lupa juga, Winston Churchill menang hadiah Nobel sastera pada tahun 1953. Kerana kemahirannya yang tinggi dalam karya sejarah dan biografi, serta pidatonya yang cemerlang dalam menegakkan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Karyanya sebahagian besarnya hanya dimuatkan dalam dua buku memoir penting ” The Second World War” dan buku “A History of the English-Speaking Peoples.” Tetapi beliau juga dipertikaikan dan dihumban ke dalam kancah kontroversi.

Tahun 1962 pemilihan John Steinbeck turut dikritik hebat dan malah dianggap sebagai satu kesalahan terbesar akademi Sweden.

Majalah The New York Time menyalarnya dengan kata-kata, mengapa penghargaan itu diberikan kepada seorang pengarang yang sangat terbatas bakatnya.

Maka sekali saya menegaskan, sesungguhnya, dalam banyak perkara, kita tidak dapat membawa semua orang menyukai dan menghargai apa yang kita lakukan.

-000-

Tetapi ingat, dunia sudah berubah. Cara kita memacu dunia sastera juga sudah berubah. Sesiapa yang berfikir dan bekerja cara lama dalam mengemudikan bahtera sastera tidak akan sampai ke pulau harapan. Mereka hanya terapung di tengah samudera yang tidak bertepi.

Justeru itu, tidak mustahil pada tahun 2022, atau pada tahun-tahun berikutnya anugerah ini akan dibawa pulang ke Indonesia dan turut menjadi kebanggan rantau ASEAN.

Kita jangan lupa, Pramoedya dicalonkan untuk hadiah Nobel ini kerana ketokohan, karya dan kontroversi yang mengelilinginya.

Denny juga begitu. Tetapi, saya menganggap peluang Denny JA lebih cerah berbanding Pramoedya, kerana pejuangan, genre puisi esai yang digagasnya, karisme dan kredibilitinya, karyanya dan sisi kemanusiaan yang diproklamasikannya, caranya melawan kontrovesi dan ketabahannya yang jarang dimiliki orang lain.

Maka apa juga pandangan pro dan kontra yang diberikan. Kebenaran sentiasa berada di hadapan, walaupun selalu terlepas pandang. Mutiara selalu menyerlah, walaupun terbenam di dalam lumpur.

Sejarah akan tetap tercipta sama ada disukai atau pun tidak. Maka dalam banyak hal, saya selalu percaya, hanya jauhari yang lebih mengenal manikam.

***


 

Terima kasih telah membaca Inilahjambi.com. Cantumkan link berita ini bila Anda mengutip seluruh atau sebagian isi berita. Mari bersama menghargai karya jurnalistik.

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan.

SOROTAN
error: OPPPS, MAU NGAPAIN? Konten ini dilindungi !!